Pelekapan Yang Betul Ketika Menyusukan Bayi

9:40 AM 0 Comments A+ a-



Latch on ataupun lekapan adalah salah satu perkara yang sangat penting untuk diketahui oleh setiap ibu yang menyusukan bayi - terutamanya yang baru pertama kali bergelar ibu. Mengapa ianya sangat penting? 

Ada banyak sebab, tetapi antara sebab-sebabnya ialah:

1) Supaya bayi anda boleh mendapat susu ibu (makanan utamanya) dengan sempurna 

- Untuk mendapat susu, bayi perlu melekap dengan betul dan sempurna pada payudara anda. Seandainya tidak, bayi tidak akan mendapat susu dan anda juga akan berasa sakit ketika proses penyusuan sedang berlaku. Seandainya anda berasa sakit ketika menyusu bermaksud anda ada masalah latch on. Berhenti dan cuba untuk belajar daripada nurse ataupun doktor yang pro-breastfeeding ataupun berjumpa dengan mana-mana kaunselor laktasi.

2) Untuk mengelakkan anda daripada mengalami puting luka, melecet dan bengkak susu (engorgement)

- Apabila anda berasa sakit semasa menyusukan anak, itu bermaksud cara pelekapan anda tidak betul. Ini adalah kerana si bayi cuma menghisap puting sahaja. Berhenti dan cuba lagi. Pelekapan yang betul tidak sepatutnya menyebabkan anda berasa sakit. Kebanyakan ibu membuat kesilapan dengan hanya memberikan bayinya puting sahaja. Pelakuan ini boleh membuatkan puting anda luka, melecet dan berdarah. Selain itu, anda juga boleh mengalami bengkak susu kerana susu tidak dikeluarkan dengan sebetulnya.

3) Membantu merangsang pengeluaran susu ibu dengan lancar

- Seandainya bayi melekap dengan betul, bayi akan mendapat susu, dan si ibu tidak akan mengalami kesakitan. Ini boleh menyebabkan payudara anda dapat dikosongkan dengan betul dan merangsang kepada penghasilan susu yang lebih banyak. 

4) Ibu dan bayi berasa tenang dan gembira!

- Apabila anda mengetahui cara pelekapan yang betul, si manja anda pasti kenyang. Bayi yang kenyang dan mendapat cukup susu ibu tidak mudah meragam dan membantu bayi anda untuk berasa tenang dan gembira. Secara tidak langsung, anda (dan pasangan-sebab tak perlu berjaga apabila bayi meragam? :P) juga pasti akan berasa selesa dan gembira dengan keadaan bayi anda. Dan jangan lupa, emosi ibu dapat dirasai oleh bayi. Rasa tenang, gembira, yakin mampu melancarkan penghasilan susu yang lebih 'lumayan'! 



Secara teorinya, berikut adalah langkah-langkah untuk anda dan bayi anda 'belajar' cara pelekapan yang betul;
1. Pastikan anda berada dalam kedudukan yang selesa. Posisi anda bersama bayi dan sebagainya. Letakkan bantal di belakang anda sekiranya perlu. Anda juga boleh meletakkan bantal di atas peha anda supaya kedudukan bayi anda berada di tahap yang sama dengan payudara anda. Anda boleh berbuat apa sahaja -yang penting selesa.
2. Pastikan bayi anda dalam keadaan yang aktif dan tidak mengantuk. Sekiranya bayi anda dalam keadaan meragam ataupun menangis, tenangkan dia terlebih dahulu.
3. Bayi dapat melekap dengan selesa seandainya badannya berada di posisi yang betul. Pastikan anda menyokong keseluruhan badan (belakang) bayi. Mengiringkan badan bayi anda menghadap anda. Dan muka bayi menghadap payudara anda. 
4. Memulakan pelekapan:
i- Bawa bayi anda kepada payudara - bukan payudara kepada bayi. Apabila ini berlaku, anda mungkin akan membongkok sedikit. Dan ini tidak sepatutnya berlaku. Anda sepatutnya berada di dalam keadaan relax dan selesa.
ii- Tunggu bayi anda membuka mulutnya dengan luas. Ataupun anda boleh memain-mainkan jari/puting anda di tepi mulut bayi anda supaya dia membuka mulutnya. Apabila mulutnya terbuka luas bawa bayi anda ke payudara anda (bukan anda ke bayi anda). Anda mungkin boleh menggunakan tangan yang satu lagi untuk menyokong payudara anda. 


iii- Pastikan anda memberikan aerola dan bukannya puting. Untuk bayi anda mendapatkan susu, dia perlu menghisap aerola. Bayangkan aerola anda, sepatutnya semasa pelekapan berlaku, cuma ada sedikit aerola yang akan kelihatan. Aerola di atas akan kellihatan 'lebih banyak' berbanding aerola di bawah bibir bayi anda. 


iv- Pelekapan yang betul akan menyebabkan bibir bayi anda akan menjadi seperti 'mulut ikan'. Di payudara anda, bibir atas dan bawah akan 'melentik keluar'. 

- Puting anda sepatutnya menyentuh lelangit lembut bukannya lelangit keras bayi anda.

-Sekiranya pelekapan tidak berlaku dengan sempurna, lepaskan semula bayi daripada payudara anda (dengan menggunakan jari kelingking anda masukkan ke hujung mulut bayi anda) dan bermula semula daripada awal. Pelekapan yang tidak betul akan menyebabkan puting anda melecet selepas 1-2 kali penyusuan. 

v- Pelekapan yang sempurna. Dagu bayi akan menyentuh payudara anda. Pipi bayi akan bulat dan anda boleh melihat bayi anda menggerakkan keseluruhan rahangnya. Anda akan rasa bayi menghisap payudara anda dan mendengar sedikit bunyi bayi anda menyusu. Hidung bayi anda juga mungkin akan tertutup sedikit dengan payudara anda. Jangan risau, pastikan ada sedikit ruang untuk anak anda bernafas (sebelah lubang hidung pun sudah memadai). Seandainya bayi anda  kelihatan agak struggle, kemaskan posisi kedudukan bayi anda.

Seandainya anda ibu baru ataupun expecting mothers, dan mengalami kesukaran untuk mendapat pelekapan yang  betul, jangan stress dan sedih. Bertenang dan tarik nafas dalam-dalam. Bukan anda seorang sahaja yang mengalami 'kesusahan' ini. Masih ramai lagi ibu-ibu di luar sana yang mengalami masalah yang sama. Bagi saya secara jujurnya breastfeeding adalah skillPractices make perfects! Kuncinya adalah cuba, cuba dan cuba. Seandainya perlu berjumpalah dengan kaunselor laktasi ataupun pakar laktasi yang terdekat dengan anda.

Terakhirnya anda boleh klik video di bawah ini untuk melihat dengan lebih jelas lagi mengenai cara pelekapan yang betul. Semoga artikel yang simple ini membantu!



Saksikan kesungguhan ibu bekerja yang berazam untuk menyusukan bayinya sehingga umur 2 tahun! Anda pasti kagum dengan semangat ibu bekerja ini...



Cara Tambah Susu Badan Supaya Tak PANIK Anak Menangis Kelaparan from iReach HD on Vimeo.