7 Sebab Mengapa Anda Perlu Menyusukan Si Manja Anda

8:59 AM 0 Comments A+ a-




Umum mengetahui susu ibu itu sesuatu yang sangat baik. Samada kepada bayi ataupun kepada si ibu.
Alhamdulillah, kesedaran mengenai kepentingan susu ibu ini juga semakin meningkat semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. 
Walaubagaimanapun, masih ada lagi yang tidak ambil endah mengenai 1001 khasiat susu ibu ini. 
Jangan pandang ringan mengenai pemberian makanan awal anak anda. 
Mengapa kita memilih brand F M yang mahal tapi kurang berkualiti berbanding dengan brand BM yang murah tapi sangat2 berkualiti?

Terdapat banyak sebab mengapa anda perlu menyusukan bayi anda. Saya rangkumkan di bawah ini;

1. Sistem imunisasi yang baik
Bayi yang disusui susu ibu secara ekslusif mempunyai sistem imunisasi yang sangat baik. Ini adalah kerana di dalam susu ibu itu sendiri sudah mempunyai antibodi yang membantu si bayi membina imunisasi. Kolostrum (susu awal bayi) adalah sangat penting buat bayi yang baru dilahirkan untuk melindungi lapisan perut bayi yang masih sangat fragile di waktu itu, bertindak sebagai laksatif (menolong bayi mengeluarkan mekonium) dan menghalang kepada pembinaan bilirubin (membantu menghalang jaundis).
Selain itu, kebaikan susu ibu ini akan berpanjangan sehingga si bayi tadi menjadi kanak-kanak. Kebaikan susu ibu ini tidak terhenti setakat usia bayi.
2. Mengurangkan risiko Sindrom Bayi Mati Mengejut (SIDS)
Kebelakangan ini, sangat banyak berita mengenai bayi meninggal secara mengejut. Lebih-lebih lagi apabila diletakkan di pusat penjagaan bayi. Ini adalah kerana kebiasaannya bayi diberikan botol susu tanpa pengawasan penjaga. Dan banyak studi telah menunjukkan bayi yang diberikan susu ibu lebih kurang risiko SIDS berbanding bayi yang diberikan susu formula. 

(*terdapat banyak faktor lain yang boleh menyebabkan SIDS, boleh lihat di link ini)
3. Mempunyai IQ yang tinggi
Setiap ibu bapa pasti mahu anak-anaknya bijak dan cerdik. Menyusukan susu ibu adalah satu langkah awal yang sangat bijak dalam membentuk perkembangan IQ yang sihat. Merujuk kepada link ini, melalui research yang telah diadakan, kanak-kanak yang menyusu susu ibu mempunyai skor yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang menyusu susu formula. Dan mengikut link ini pula, IQ yang tinggi pada kanak-kanak yang menyusu susu ibu adalah kerana faktor genetik. Di mana di dalam susu ibu terdapat fatty acid yang tidak ada di dalam susu formula. Selain ini, bonding yang terjalin antara ibu dan bayi semasa menyusu juga mempengaruhi IQ bayi.
4. Kurang mendapat jangkitan penyakit dan kolik
Bayi yang diberikan susu ibu akan kurang mendapat jangkitan-jangkitan penyakit seperti selesema, demam, jangkitan telinga, cirit birit, menigitis dan sebagainya. Selain itu ia turut mengurangkan risiko penyakit asma dan ekzema. Kemungkinan untuk bayi yang menyusu susu formula untuk mendapat ekzema adalah tinggi kerana bayi mungkin akan alah dengan kandungan susu formula tersebut. Bayi yang menyusu susu badan juga jarang mengalami kembung perut atau kolik kerana pelekapan sewaktu menyusu badan tidak menyebabkan udara memasuki perut bayi berbanding penggunaan botol susu.
5. Mengurangkan risiko diabetis apabila dewasa
Komposisi zat yang terdapat di dalam susu ibu adalah sangat lengkap dan tepat. Dan ianya berubah mengikut tempoh penyusuan dan umur seseorang bayi mengikut keperluan. Komposisi zat bagi seorang bayi pra-matang adalah tidak sama dengan bayi yang berusia 1 bulan (ia akan berubah mengikut usia bayi). Berbeza dengan susu formula, walaupun sudah banyak RnD yang dibuat, ianya tidak mampu menandingi zat di dalam susu ibu. Bayi yang menyusu badan akan mendapat zat yang seimbang dan ini akan dapat menjaga sistem pencernaannya dengan baik sekaligus mampu mengurangkan risiko diabetis apabila dewasa kelak.
6. Kebaikan kepada si ibu (ya, anda!)
Apabila kita menyusukan bayi, hormon oksitoksin akan meningkat di mana ia akan membuatkan ibu lebih gembira, tenang dan kurang stres. Ini dapat mengurangkan risiko postpartum depression (meroyan). Selain itu, ia membantu ibu kembali langsing dengan ceoat kerana setiap kali ibu menyusukan anak ia turut membakar kalori ibu. Ia juga dapat mengecutkan rahim dan secara tidak langsung mengurangkan risiko pendarahan semasa berpantang. Risiko untuk mendapat kanser rahim dan payudara juga akan kurang. Dan ia juga mampu untuk melambatkan menstruasi dan kesuburan sekaligus! *Bonus lagi :)* 
7. Mengeratkan kasih sayang antara ibu dan bayi
Hubungan yang terjalin antara ibu yang menyusukan dan bayi sangat erat. Hanya yang pernah merasai tahu bagaimana rasanya perasaan yang wujud antara si ibu dan bayinya. Secara tidak langsung ini akan membina keyakinan diri anak anda!


Walau apapun cabaran yang ibu hadapi dalam menjayakan misi penyusuan ini, yang paling penting ibu dan bapa sama-sama mencari info dan ilmu sebanyak-banyaknya sebelum kelahiran permata hati. Sekurang-kurangnya target dahulu untuk menyusu susu ibu sepenuhnya untuk 6 bulan yang pertama dan boleh diteruskan sehingga 2 tahun penuh.

* * * * * * * * * *