Kolostrum - Cecair Emas Yang Sangat Berharga Buat Bayi Baru Anda!
Ramai antara kita yang risau apabila tidak ada susu yang terhasil dari payudara selepas bersalin. Risau bayi anda lapar. Bimbang bayi menangis. Takut bayi jatuh sakit.
Tapi sebenarnya bayi yang baru lahir itu cuma mempunyai saiz perut yang sangat kecil (cuma sebesar sebiji ceri!). Jadi sangat tidak logik untuk payudara kita menghasilkan susu yang sangat banyak pada hari pertama. Allah itu Maha Bijaksana. Di awal kelahiran dengan perut bayi yang sangat kecil itu, kolostrum kita yang dihasilkan (walaupun secara purata 37ml pada hari pertama) mampu untuk menampung keperluan bayi anda.
Jadi jangan panik apabila payudara anda tidak menghasilkan susu matang di awal kelahiran bayi anda. Kerana bukan susu matang yang bayi anda perlukan tetapi kolostrum yang sedikit itu yang sangat-sangat penting. Jadi teruskan sahaja penyusuan seperti biasa dan 'enjoy the moment'. Jangan sesekali memberikan anak anda susu formula ataupun air glukosa ataupun air masak kerana bimbangkan bayi lapar etc. Tindakan anda itu sebenarnya akan menyebabkan bayi kenyang dan menolak untuk menyusu secara terus dari payudara (direct feeding) dan ini sangat-sangat merugikan bayi anda sendiri kerana tidak mendapat kesemua kelebihan dan imunisasi yang ada di dalam kolostrum itu.
Apa itu kolostrum?
* Bersifat kuning pekat dan terhasil di awal-awal kelahiran bayi anda (susu matang terhasil selepas 2/3 hari kelahiran bayi)
* Merupakan imunisasi pertama untuk anak anda
* Amat kaya dengan antibodi dan mempunyai banyak sel hidup di dalamnya - memberi perlindungan yang maksima buat bayi anda
* Ia bersifat laktasif dan membantu bayi membuang air (mekonium) dan mampu membantu mengelak daripada jaundis
* Mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) yang dapat mematangkan usus dan mengurangkan risiko alergi
* Kaya dengan Vitamin A membantu penyakit mata pada bayi
Mitos: Ada orang-orang tua yang tidak membenarkan si ibu muda untuk memberikan kolostrum kepada bayi yang baru lahir kerana mereka mengatakan yang kolostrum itu 'susu kotor' ataupun tak elok. Jadi kini anda sudah tahu betapa berharganya kolostrum itu, beritahulah mereka dengan berhikmah. Kan sharing is loving.. (^_~)